Kerajaan teruskan dasar tingkatkan pendapatan isi rumah B40 - PM
Hasimi Muhamad
September 14, 2021 12:25 MYT
September 14, 2021 12:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan serta kuasa beli terutamanya isi rumah miskin dalam kalangan B40, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Perdana Menteri, strategi tersebut termasuk menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan.
Selain itu, kata beliau, langkah turut dilakukan dengan menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan; menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan serta meningkatkan perlindungan sosial.
Menjawab pertanyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson), Perdana Menteri berkata, ini kerana bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan sebelum ini adalah bersifat jangka pendek.
"Dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat dan apabila lebih banyak lagi negeri beralih ke Fasa 2, 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kedudukan ekonomi kita dijangka lebih kukuh, dan pendapatan isi rumah bulanan akan bertambah baik," katanya ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Selasa.
Terdahulu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah yang diambil kerajaan dan penjelasan berkenaan pendapatan isi rumah kasar bulanan yang menurun sehingga 10.3 peratus.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai bentuk bantuan di bawah lapan pakej rangsangan ekonomi bagi meringankan beban individu dan isi rumah.
"Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) fasa 1 yang keseluruhannya berjumlah RM24.9 bilion. Ini telah membantu 10.9 juta individu dan isi-rumah
"Moratorium bayaran balik pinjaman kepada lebih 7 juta peminjam; diskaun bil elektrik sebanyak RM3.14 bilion yang memanfaatkan 8.8 juta individu dan isi-rumah.
"RM300 ribu kepada setiap ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Pembangkang, bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan yang memanfaatkan lebih kurang 375 ribu penerima.
"Mengekalkan dan mewujudkan pekerjaan termasuk program Subsidi Upah yang telah membantu kira-kira 300,000 majikan dan mengekalkan lebih daripada 2.7 juta pekerjaan," kata Perdana Menteri lagi.
Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.