Kerajaan teruskan dasar kawalan harga, subsidi ayam

Sinar Harian
Januari 9, 2023 22:47 MYT
Ahmad Zahid berkata, satu dasar berkaitan mekanisme bersasar juga bakal dilaksanakan. - Gambar fail
SHAH ALAM : Kerajaan memutuskan supaya dasar kawalan harga dan subsidi ayam diteruskan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu dasar berkaitan mekanisme bersasar juga bakal dilaksanakan.
Menurutnya, perkara itu telah diteliti menerusi kertas cadangan pelan tindakan bagi menjamin Kestabilan bekalan ayam dan telur ayam serta kecekapan pemasaran oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPDN).
"Ini termasuklah tindakan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melalui Ops ATM (ayam, telur dan minyak masak) dan Ops Anti Sorok telah melibatkan 814,718 pemeriksaan premis serta 31,009 penyamaran.
"Selain daripada itu, Ops Bersepadu bersama-sama agensi penguatkuasaan lain seperti polis, tentera, Maritim Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melakukan 225 sekatan jalan raya (SJR) dan 357 operasi bersepadu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).
Ahmad Zahid berkata, ini penting supaya isu kos sara hidup ditangani dengan menggunakan polisi dan perundangan persaingan dalam memastikan pasaran serta industri yang sihat dan adil bagi melindungi kepentingan pengguna daripada ancaman kartel dan monopoli.
"Justeru, agenda memperkasakan persaingan, pasaran sihat dan adil termasuk memperbanyakkan jualan terus dari ladang akan dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Dijangka sebanyak 10,000 kali jualan di 1,793 premis jualan di seluruh negara. Harga yang akan ditawarkan juga dijangka lebih rendah daripada harga pasaran," katanya.
Beliau berkata, koordinasi rentas agensi perlu dilaksanakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi meneliti penambahbaikan mekanisme pelaksanaan harga dua peringkat.
"Ia agar sebarang keputusan tidak memberi implikasi yang besar kepada pihak terlibat sama ada di peringkat industri mahupun pengguna," katanya.
Katanya lagi, data-data daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Perangkaan Malaysia perlu digunakan bagi mengenal pasti segmen pasaran agar jualan tersebut lebih efektif dan memberi manfaat kepada golongan sasar.
"Ia supaya FAMA dinaiktarafkan sebagai Agensi Keterjaminan dan Sekuriti Makanan dengan objektif memastikan pengeluaran dan pengedaran makanan utama terpilih untuk negara dibuat secara konsisten, cekap dan cukup," katanya.
Ahmad Zahid berkata, selain ayam dan telur, NACCOL turut membentangkan pelan tindakan bagi kaedah pelaksanaan harga dua peringkat (two-tier pricing) minyak sawit untuk pasaran domestik oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi.
"Mekanisme harga dua peringkat yang melibatkan hanya 1.6 peratus daripada keseluruhan pengeluaran minyak sawit mentah bagi kemasan botol dan 8.4 peratus keluaran untuk kemasan berpaket.
"Manakala 90 peratus pengeluaran minyak sawit mentah adalah bagi tujuan eksport," katanya.
Jelas beliau, turut diberi perhatian termasuklah pengukuhan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
"MyCC melalui pindaan Akta Persaingan 2010 dalam sesi Parlimen hendaklah disegerakan di sekitar pertengahan tahun ini," ujarnya. - Sinar Harian
#harga kawalan #subsidi ayam #Zahid Hamidi #subsidi bersasar
;