Kerajaan terus tingkat kebajikan petugas ESSCom - Saifuddin

Bernama
Ogos 29, 2023 19:48 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) menyerahkan replika kunci rumah kepada anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ESSCOM, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob. - Foto BERNAMA
LAHAD DATU: Kerajaan Perpaduan akan terus meningkatkan aspek kebajikan pegawai dan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sini melalui persekitaran kerja yang kondusif.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jasa anggota ESSCom amat besar dalam menjaga keamanan dan keselamatan Sabah serta negara, justeru menjaga kebajikan anggota agensi berkenaan adalah amat penting .
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada pegawai serta anggota ESSCom bekeluarga, di sini, hari ini.
Menurutnya, penempatan fasa pertama itu melibatkan pembelian 60 unit rumah di Taman Palm Garden di sini dengan peruntukan RM40 juta yang diluluskan pada 15 Julai lalu.
Beliau berkata ESSCom telah melakar beberapa kejayaan sejak penubuhannya lebih 10 tahun lalu, antaranya, tiada lagi kes penculikan untuk tebusan direkodkan sejak 15 Jan 2020.
Selain itu, Saifuddin Nasution, berkata ESSCom juga kerap menumpaskan banyak sel pengganas dan membanteras pelbagai kes penyeludupan, selain mengekang kemasukan pendatang.
"Jadi, ini adalah antara petunjuk kejayaan ESSCom yang disumbangkan oleh anggota yang bertugas dan kaitannya apabila aspek kebajikan mereka kerajaan ambil tahu iaitu keadaan iklim kerja mereka akan lebih kondusif dan mereka dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan," katanya.
Beliau turut berpuas hati dengan ESSCom menjalinkan kerjasama berterusan dengan pihak berkepentingan, antaranya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam memperkenalkan aplikasi memantau pergerakan dan keberadaan pelancong di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
-- BERNAMA
#ESSCom #Saifuddin Nasution Ismail #Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah #Kementerian Dalam Negeri
;