Kerajaan terus konsisten perangi rasuah - PM Anwar

Bernama
Disember 9, 2022 11:49 MYT
Anwar berkata agenda reformasi terutamanya dalam usaha mencegah rasuah tidak hanya terhad kepada penguatkuasaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kerajaan akan terus konsisten dengan usaha memerangi rasuah di negara ini.
Bersempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2022 yang disambut hari ini, beliau berkata agenda reformasi terutamanya dalam usaha mencegah rasuah tidak hanya terhad kepada penguatkuasaan.
Sebaliknya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata nilai-nilai seperti integriti, akhlak dan etika adalah aspek yang perlu diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
"Dengan meraikan serta memartabatkan integriti, ia berupaya memacu Malaysia ke arah kecemerlangan yang holistik yang akan mencakup aspek fizikal, rohani, nilai dan identiti," katanya menerusi laman Facebook hari ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2003 telah mengisytiharkan Hari Antirasuah Antarabangsa disambut pada 9 Dis setiap tahun di seluruh dunia.
HARA 2022 | Semua pihak perlu bekerja satu pasukan tangani rasuah - Azam
#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #kerajaan konsisten perangi rasuah #Hari Antirasuah Antarabangsa #PM10