Kerajaan terus komited bangunkan belia - TPM
Bernama
Disember 10, 2023 20:22 MYT
Disember 10, 2023 20:22 MYT
ALOR GAJAH: Kerajaan Perpaduan terus komited memberi tumpuan khusus kepada golongan belia bukan sahaja di bandar tetapi menjangkau ke kawasan desa dan pendalaman di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata apa yang penting adalah peluang luas untuk direbut golongan belia yang bersemangat memajukan diri dan meningkatkan pendapatan mereka menerusi latihan serta peluang pekerjaan lebih baik.
"Justeru seperti yang saya selalu tegaskan mengenai potensi besar Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada para belia, ia terbukti melahirkan ramai graduan yang memiliki peluang pekerjaan yang cerah dalam industri, termasuk kebolehpasaran yang mencapai sehingga 92.5 peratus pada 2022," katanya.
Katanya ini penting terutamanya ketika statistik Tenaga Buruh Malaysia pada Mac dan suku pertama 2023 menganggarkan kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 11.2 peratus.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-44 Tahun 2023 di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Turut hadir dalam majlis yang dihadiri lebih 300 wakil belia dari seluruh negara itu ialah Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
"Jadi kalau tanya saya, umum tahu saya sedang memperkasakan TVET dalam menggerakkan usaha memberikan lebih peluang pendidikan dan pekerjaan kepada belia seluruh negara," katanya.
"Atas dasar itu kerajaan melalui pelancaran Dasar TVET Negara tidak lama lagi akan memperhalusi dan menambahbaik pendidikan TVET dengan tujuan menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang tertentu bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi," katanya.
Beliau berkata Gerakan Belia 4B mampu menjadi aktivis TVET dalam mempromosi agenda TVET malah dapat menjadi penghubung di antara kerajaan, industri dan anak-anak muda di seluruh negara.
"Besar harapan saya agar pemimpin belia ini berperanan sebagai pelaku-pelaku aktif dalam proses membawa perubahan ini dan perubahan ke arah mencipta Malaysia yang kita impikan," katanya.
-- BERNAMA