Kerajaan terus giat langkah pastikan negara stabil, mesra perniagaan - PM Anwar

Bernama
September 7, 2024 12:10 MYT
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat tiba di pekarangan Istana Negara sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menggiatkan usaha memastikan negara terus stabil, di samping mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mesra perniagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah kerajaan yang berterusan membaiki tatekelola, memerangi rasuah dan memberi tumpuan terhadap pelaburan bernilai tinggi, semakin berhasil dalam mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk lebih ramai rakyat.
"Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah jua, negara terus berada dalam keadaan yang lebih baik. Ekonomi negara telah menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dengan kadar 5.9 peratus pada suku kedua tahun 2024.
"Di samping itu, pemulihan terkini Ringgit berbanding Dollar Amerika Syarikat dan mata wang utama lain, bersama dengan kenaikan pantas FBM KLCI tahun ini, turut menunjukkan keyakinan pelabur. Ini menjadi bukti jelas bahawa dasar-dasar dilaksanakan Kerajaan MADANI telah membuahkan hasil positif, Alhamdulillah," katanya, dan menambah negara kini antara destinasi pilihan untuk pelaburan global.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.
#Anwar Ibrahim #ekonomi malaysia #perangi rasuah #Yang di-Pertuan Agong
;