Kerajaan terus bela nasib veteran ATM - Adly
Bernama
Mac 1, 2025 22:00 MYT
Mac 1, 2025 22:00 MYT
Adly menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penyampaian Ganjaran Hilang Upaya Veteran ATM hari ini. - Gambar Bernama
ALOR SETAR: Kerajaan terus membela nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hilang upaya akibat kecederaan semasa bertugas bagi memastikan nasib anak-anak mereka tidak terabai.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memahami situasi mereka yang tidak lagi mampu bekerja dan sukar menyara keluarga terutama bagi menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak di peringkat tinggi.
"Kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan veteran ATM. Justeru, Kementerian Pertahanan melalui JHEV telah menambah baik beberapa faedah antaranya melibatkan pendidikan anak-anak veteran. Julat Elaun Pelajaran Anak-Anak Penerima Pencen Hilang Upaya turut dinaikkan daripada RM200 hingga RM685 setahun kepada RM1,600 hingga RM5,400 setahun mengikut tahap pendidikan.
"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 700 ke 800 peratus daripada kadar sebelum ini...apa sahaja kecederaan dialami mereka semasa bertugas, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab sama ada terhadap veteran itu sendiri, keluarga mereka serta memastikan pendidikan anak mereka terjaga," katanya selepas Majlis Penyampaian Ganjaran Hilang Upaya Veteran ATM Kedah di sini, semalam.
Pada majlis itu, 34 veteran ATM yang cedera sewaktu melaksanakan operasi atau menjalani latihan berisiko tinggi menerima faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) serta lapan penerima terdiri daripada anak veteran menerima sumbangan komputer riba.
Adly berkata pemberian GHU kepada lebih 1,800 veteran ATM yang sepatutnya diselesaikan sebelum Ramadan ini, akan diselesaikan sebelum Aidilfitri berikutan beberapa kekangan dihadapi terutamanya melibatkan Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Aishah Humairah Abd Rahim, 19, pelajar Diploma Ukur Bangunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak yang menerima bantuan komputer riba berterima kasih atas sumbangan diberikan walaupun bapanya, Abd Rahim Mat Isa telah meninggal dunia pada 2023 akibat serangan jantung ketika berusia 63 tahun.
"Terima kasih kerana memberi sumbangan komputer riba kepada anak-anak veteran tentera dan ini sudah pastinya dapat membantu kami yang kebanyakannya masih belajar. Komputer riba ini saya akan beri kepada kakak kerana dia lebih memerlukan dan sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di UiTM Puncak Alam," katanya.
Koperal (B) Abd Razak Saad, 66, dari Sungai Petani yang putus kaki kiri hingga paras buku lali semasa melaksanakan Ops Gubir pada 1986, bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kementerian yang memberi sumbangan kepada anggota tercedera semasa berkhidmat sebagai tentera.
"Saya telah berkhidmat sebagai anggota tentera selama 21 tahun dan semasa operasi, saya telah kehilangan kaki kiri akibat terkena jerangkap samar dan saya bersara pada tahun 1999..selain saya, ada lagi beberapa rakan terlibat dalam operasi sama turut kehilangan kaki.
"Bersyukur sangat kerana sumbangan dan faedah diterima ini dapat mengurangkan beban di kala ekonomi dan kos Sara hidup semakin tinggi. Ini juga dapat membantu menampung keperluan saya menjelang Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.
-- BERNAMA