Kerajaan Terengganu sedia biayai kos pembelajaran anak mangsa kemalangan di LPT2
Bernama
Oktober 18, 2015 08:46 MYT
Oktober 18, 2015 08:46 MYT
Kerajaan Negeri Terengganu bersedia membiayai sepenuhnya pengajian anak mangsa kemalangan maut di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Rabu lalu.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata pihaknya menerusi Yayasan Terengganu (YT) bersedia menanggung kos pembelajaran Puteri Nabila Azaman, 19, jika gadis itu bersungguh-sungguh mahu memajukan dirinya.
Katanya kerajaan negeri tidak mempunyai halangan memenuhi cita-cita remaja itu untuk menjadi seorang guru.
"Dalam perkara ini kita akan beri bantuan secara berperingkat selain terus memberi motivasi agar adik Puteri Nabila berjaya dalam apa yang dilakukannya," kata Ahmad Razif.
Beliau berkata demikian selepas melawat remaja itu di kediaman neneknya di Kampung Raja, Chendering di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Puteri Nabila berkata dia bertekad meneruskan kursus Pemesinan Industri peringkat diploma Vokasional Malaysia di Kolej Vokasional Wakaf Tembusu dekat sini, walaupun tanpa kehadiran bapa, ibu dan adik-adiknya sebagai pendorong.
Bagaimanapun, pelajar tahun satu itu belum memutuskan masa yang sesuai untuk menduduki semula peperiksaan akhir bagi kertas Matematik dan Tanggungjawab Pekerja yang terpaksa ditangguhkan selepas kehilangan keluarganya.
Jelasnya dia sedang menyusun semula kehidupannya dengan bantuan bapa dan ibu saudaranya.
"Cikgu cakap terpulang kepada saya bila nak ambil semula peperiksaan itu. Lagipun saya belum bersedia berbuat demikian kerana masih belum dapat memberi tumpuan sepenuhnya.
"Apapun saya sudah setuju menjalani latihan praktikal selama empat bulan di Melaka selepas tamat peperiksaan ini (bermula 23 November).
"Sekurang-kurangnya, saya memenuhi hasrat arwah ayah (yang mahu Puteri Nabila menjalani latihan praktikal di sana)," katanya.
Dalam kejadian Rabu lepas, kereta yang dipandu Azaman Ramli, 49, hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar belakang sebuah treler yang sedang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 258, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, dekat Jabor, Kemaman.
Selain Azaman, turut terkorban ialah isteri Azaman yang juga ibu tiri Puteri Nabila iaitu Noor Akmal Mohd. Zain, 48, serta dua anak mereka, Aliff Hateem, 16, dan Aliff Hakim, 12.
Dua lagi mangsa yang terkorban ialah anak angkat pasangan itu, Aqeel Muslim Abdullah, 3, dan anak Noor Akmal bersama bekas suami, Noor Amirah Syahirah Alias, 22.
Mengulas lanjut, Puteri Nabila berkata, dalam masa terdekat ini, dia akan berpindah ke rumah bapa saudaranya, Abd. Mutalib Muhammad, 51, di Gong Badak buat sementara waktu bagi memudahkannya berulang-alik ke kolej yang terletak tidak jauh dari situ.