Kerajaan Terengganu berjimat cermat kesan kejatuhan harga petroleum dunia
Bernama
Januari 20, 2016 20:04 MYT
Januari 20, 2016 20:04 MYT
Kerajaan Negeri Terengganu akan mengurangkan perbelanjaan dalam pentadbiran dan pengurusan sebagai langkah penjimatan ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini dan kejatuhan harga petroleum di pasaran dunia.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sumber pendapatan Terengganu dijangka terjejas kerana ia hanya akan dapat mengutip pendapatan daripada hasil petroleum bernilai tidak lebih dari RM850 juta tahun ini, kesan penurunan harga petroleum semasa di pasaran dunia.
Katanya, antara penjimatan yang akan dilakukan termasuk mengurangkan jumlah elaun para pegawai tertinggi kerajaan negeri, menangguhkan pembinaan projek berskala mega yang baharu dan mengurangkan lawatan kerja ke luar negara.
"Langkah pengurangan itu akan dilakukan serta merta selepas keputusan dibuat pada mesyuarat bersama pimpinan tertinggi kerajaan negeri hari ini.
Walaupun ada perbelanjaan pengurusan yang terpaksa dipotong namun bantuan dan kebajikan terhadap rakyat tidak akan dipotong dan tidak akan diabaikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Sekretariat Tabung Darul Iman berkenaan di Jalan Sultan Ismail, dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof.
Mengulas pertanyaan pemberita sama ada kerajaan negeri akan melakukan pengubahsuaian bajet seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, Ahmad Razif berkata ia tidak perlu dilakukan kerana kerajaan negeri telah bersetuju dengan langkah penjimatan yang akan dilakukan sebagai usaha menjimatkan wang kerajaan.
"Kita yakin dengan usaha ini ia dapat menjimatkan wang kerajaan dan pada masa sama kebajikan rakyat tetap akan didahulukan," katanya.