Kerajaan terbitkan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta - Muhyiddin
Astro Awani
Jun 5, 2020 17:23 MYT
Jun 5, 2020 17:23 MYT
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan menerbitkan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta pada suku ketiga tahun ini.
Bertemakan “Daripada Rakyat, Kepada Rakyat”, dana yang terkumpul itu akan disalurkan untuk membantu pembiayaan perniagaan perusahaan mikro.
“Dana ini akan disalurkan untuk membantu pembiayaan perniagaan perusahaan mikro terutama usahawan wanita, penambahbaikan liputan Internet jalur lebar di sekolah terutamanya di kawasan luar bandar dan geran penyelidikan penyakit berjangkit.
“Program ini terbuka kepada orang ramai dan syarikat,” katanya dalam pengumuman Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberi jaminan semua Pakej Rangsangan Ekonomi termasuk langkah di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan terus dipantau pelaksanaannya.
“Pasukan LAKSANA (Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) yang telah ditubuhkan di Kementerian Kewangan akan mempertingkatkan lagi pemantauan terhadap semua inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
Jelasnya lagi, dengan sejumlah 40 inisiatif diumumkannya, beliau berharap semua pihak termasuk sektor swasta dan orang ramai dapat memberikan kerjasama dan memainkan peranan sebaiknya.
“Saya yakin segala usaha memulih dan merangsang ekonomi yang saya umumkan pada hari ini akan meningkatkan semula keyakinan pelabur, peniaga dan rakyat seluruhnya untuk bersama-sama menjana ekonomi negara,” katanya.
#ekonomi
#Kementerian Kewangan
#kerajaan
#menteri
#Muhyiddin Yassin
#peniaga
#Perdana Menteri
#rakyat
#sekolah
#usahawan
#wanita