Kerajaan teliti syor naik harga siling beras putih tempatan - Mohamad Sabu

Abd Razak Mohd Ali
November 12, 2023 15:15 MYT
Mohamad menjual beras tempatan pada Jualan Kombo Madani sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh pada Ahad. - Foto Astro AWANI
IPOH: Kerajaan akan meneliti syor agar harga siling beras putih tempatan (BPT) dinaikkan bagi menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata, syor itu akan dibincangkan kementeriannya bersama-sama Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, harga siling yang ada sekarang telah ditetapkan sejak tahun 2008 lagi.
“Ada pihak katakan perlu kaji semula dan kita kena tengoklah kalau berlaku (kenaikan).
“Pertama sekali adakah berlaku bebanan, kita kena pertimbang penanam padi, pemborong, pengilang dan pengguna.. kita lah.
“Jadi kita kena seimbangkan ketiga-tiga (pihak) itu.
“Kementerian Ekonomi, Kewangan dan Pertanian (dan Keterjaminan Makanan) akan duduk dan bincang dengan teliti keperluannya,” kataya.
Beliau ditemui selepas melakukan Jualan Madani sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah Meru, Ipoh, pada Ahad.
Menurutnya, syor itu akan dibincangkan bila-bila masa kerana isu sekuriti makanan memang selalu dibincangkan dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, ujarnya, apa sahaja keputusan yang bakal dibuat akan memastikan situasi menang-menang.
Pada Sabtu, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling beras putih tempatan (BPT) wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.
Kenaikan harga siling BPT penting bagi mengelakkan berlakunya longgokan padi tempatan berikutan pengilang tidak lagi berminat meneruskan pembelian beras kerana harga yang rendah.
Keadaan itu sekali gus menyumbang kepada kerosakan padi boleh berlaku apabila pengilang menumpukan kepada penjualan beras putih import (BPI) kerana ia lebih menguntungkan.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, berkata penetapan harga siling BPT pada RM2.60 tidak disemak sejak 15 tahun lalu walaupun gaji minimum sudah dinaikkan sebanyak dua kali dalam tempoh itu.
#beras putih tempatan #harga siling #Mohamad Sabu #pesawah
;