Kerajaan teliti perubahan insentif cukai teknologi hijau dalam Belanjawan 2024
Bernama
Mac 13, 2023 18:31 MYT
Mac 13, 2023 18:31 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin akan memperkenalkan perubahan menyeluruh ke atas insentif cukai teknologi hijau dalam Belanjawan 2024.
Setiausaha Bahagian Kementerian Kewangan, Datuk Che Nazli Jaapar berkata insentif cukai teknologi hijau semasa akan tamat pada hujung tahun ini.
"Kami sedang merangka untuk menggubah secara menyeluruh atau penambahbaikan insentif.
"Inilah sebabnya kami memilih untuk tidak mengumumkannya di bawah Belanjawan 2023 pada Februari lepas dan mempertimbangkan membuat pengumuman menjelang Oktober depan,'' katanya pada seminar Belanjawan 2023 di sini hari ini.
Bagi menggalakkan penggunaan kenderaan rendah karbon, kerajaan mungkin memberi potongan cukai ke atas perolehan kenderaan elektrik (EV) pada masa akan datang.
Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula, kerajaan mengumumkan bahawa syarikat yang menyewakan EV akan menikmati potongan cukai jika jumlah maksimum sewa tidak melebihi RM300,000.
"Kerajaan secara agresif cuba mempromosikan EV dengan memberikan lebih banyak insentif cukai serta akan terus menggalakkan peserta tempatan untuk menyetempatkan pemasangan EV di Malaysia dan mewujudkan hab di negara ini,'' katanya.
-- BERNAMA