Kerajaan teliti perluas perlindungan sosial untuk pekerja sendiri
Bernama
November 16, 2023 15:50 MYT
November 16, 2023 15:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti langkah bagi menambah baik Akta Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 terutama berkaitan peluasan perlindungan sosial bagi keadaan luar jangka dalam memastikan Orang Bekerja Sendiri (OBS) mendapat perlindungan sosial yang lebih komprehensif.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud berkata pihaknya melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang mengkaji perkara itu sebagaimana terkandung di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 serta perlindungan sosial lain.
"Setakat 10 Nov lepas, 793,116 OBS aktif mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan bagi tempoh sama 4,334 kes tuntutan telah diluluskan yang melibatkan jumlah faedah RM24.69 juta.
"Bagi bilangan penyertaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pula, seramai 197,893 dengan jumlah tuntutan RM849,081.37 dicatatkan, melibatkan 322 kes setakat 5 Nov lepas," katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat di sini.
Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung pencapaian program SKSPS dan SKSSR serta pendekatan terkini yang diambil dalam meningkatkan pencarum bagi kedua-dua skim berkenaan, di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa yang sama, katanya kementerian turut mempergiatkan usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran golongan bekerja sendiri terutama pemain industri gig tentang kepentingan perlindungan sosial demi kesejahteraan kehidupan mereka dan keluarga.
Ia termasuk menambah baik program perlindungan sosial dengan pembiayaian SKSPS di bawah Program SPS Padanan Caruman Pelan Kedua ditingkatkan daripada 80 peratus iaitu RM186.20 kepada 90 peratus, seperti yang telah ditelah dibentangkan dalam Belanjawan 2024.
Mustapha berkata dalam hal ini, orang bekerja sendiri hanya perlu membayar RM23.30 berbanding RM46.60 sebelum ini.
-- BERNAMA