Kerajaan teliti cadangan naikkan harga getah RM3.50

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 17, 2021 17:53 MYT
Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan kenaikan harga getah akan dibincangkan dengan pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan harga komoditi ini diuruskan dengan baik. - Gambar Astro AWANI
BALING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan meneliti cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, perkara itu perlu dilakukan dengan kerjasama kementeriannya dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk meneliti cadangan bagi menaikkan harga komoditi ini agar ia dapat diuruskan dengan baik.
Menurut Zuraida, penelitian harus mengambil kira pelbagai pertimbangan untuk memastikan harga getah sekerap ini dapat ditingkatkan.
“Saya kena duduk (berbincang) dengan pegawai-pegawai untuk melihat bagaimana kaedah itu boleh kita laksanakan… mungkin dalam keadaan harga getah ini nilai dia tinggi kita nampak ada hasil, tapi bila rendah mungkin tidak nampak hasil… jadi kita kena tengok imbangan bagaimanakah kaedah yang boleh kita naikkan harga lantai ini,” kata beliau.
Zuraida berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada 150 pekebun kecil yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Charuk Kelian di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan diminta mempertimbangkan untuk menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun depan, bagi membolehkan lebih ramai penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.
Ia berikutan harga lantai getah sekerap ketika ini RM2.50 sekilogram jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit, sekali gus mewujudkan jurang besar antara pengusaha getah dan kelapa sawit.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, pihaknya kini turut melakukan beberapa pendekatan untuk membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil seluruh negara.
Antara pendekatan yang sedang diusahakan adalah Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (Target) yang merupakan projek pembangunan Pusat Pemprosesan Getah Krip Berkelompok di seluruh negara bakal diperkenalkan kepada industri huluan getah.
Projek ini keseluruhannya akan dapat menjayakan transformasi sektor pekebun kecil dengan diusahakan secara berkelompok dan perkongsian keuntungan secara bersama pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan usahawan.
Selain itu, pihaknya juga mempertimbangkan alternatif menggunakan teknologi baharu dari Thailand untuk meningkatkan hasil susu getah.
Zuraida berkata, menerusi dua pendekatan berkenaan, pihaknya yakin akan dapat menjamin bekalan getah negara.
#harga getah #naikkan harga #Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi #Zuraida Kamaruddin
;