Kerajaan teliti cadangan letak SPRM di bawah Parlimen - Azalina

Ridauddin Daud
Mac 2, 2023 14:13 MYT
Azalina berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya selepas penelitian mengenai syor berkenaan selesai. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen, dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya selepas penelitian mengenai syor berkenaan selesai.
“Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan amat terbuka akan pandangan dan saranan yang disuarakan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Yang Berhormat bagi meningkatkan keberkesanan SPRM.
“Perkara ini akan diteliti oleh pihak berkaitan bagi tindakan yang sewajarnya,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk membawa SPRM ke bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Untuk rekod, beberapa pihak sebelum ini mencadangkan supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen bagi memastikan proses semak dan imbang agensi itu lebih bebas dan telus.
Cadangan itu dibangkitkan susulan wujud pelbagai dakwaan termasuk berlaku pendakwaan terpilih ke atas pemimpin parti politik tertentu.
#Azalina Othman Said #SPRM #Parlimen #Gobind Singh Deo
;