Kerajaan tekad terus perkasa hal ehwal Islam - PM Anwar

Hilmi Malik
Ogos 28, 2023 07:10 MYT
Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) bersama Anwar ketika berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-70 hari ini. - Gambar/ Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan bertekad untuk terus memperkasakan soal tadbir urus melibatkan hal ehwal Islam di negara ini selari dengan hasrat Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan yang diterajuinya akan terus berusaha menambah baik aspek berkenaan agar ia bersifat lebih inklusif.
Usaha itu kata Anwar bukan sahaja untuk memanfaatkan umat Islam semata-mata malah turut membabitkan masyarakat bukan Islam.
"Patik dan seluruh jentera Kerajaan Perpaduan khususnya agensi Islam menjunjung duli dan beriltizam untuk memastikan tadbir urus hal ehwal Islam dilaksanakan dengan sebaik-baiknya seperti mana yang dihasratkan oleh Majlis Raja-Raja.
"Patik meyakini dengan perkenan dan restu Duli-Duli Tuanku jua, usaha memperkukuhkan institusi pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan dan negeri-negeri dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 di sini, pada Isnin.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah yang semakin tercabar.
Baginda yang turut mempengerusikan Mesyuarat MKI itu berkata, satu Jawatankuasa Khas perlu ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam bagi menggubal undang-undang Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
#Sultan Selangor #Anwar Ibrahim #hal ehwal islam #mahkamah syariah