Kerajaan tekad noktahkan kemiskinan tegar di Sabah akhir Julai ini - PM
Azyyati Ahmad
Mei 31, 2024 11:44 MYT
Mei 31, 2024 11:44 MYT
PENAMPANG: Kerajaan bertekad mahu noktahkan kemiskinan tegar di Sabah sebelum akhir Julai tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini menjadi keutamaannya memandangkan masalah kemiskinan di Sabah lebih serius dari di Pulau Pinang atau di Selangor.
Anwar berkata setakat ini, kadar kemiskinan di Sabah telah menurun dari 20,000 kepada 9,000 orang.
“Apa keutamaan saya, pembasmian kemiskinan tegar. Sabah mempunyai problem yang lebih serius untuk diketimbang berbanding Pulau Pinang atau di Selangor.
“Miskin tegar ini maksudnya uniform sekolah tak mampu dibeli, makan minum atau susu bayi mungkin ada masalah, sebab itu menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri untuk menoktahkan kemiskinan tegar, semalam ada mesyuarat dengan JPSU saya ucapkan terima kasih mendapat kerjasama penuh dengan kerajaan negeri.
“Kita mahu noktahkan kemiskinan tegar di negeri Sabah ini sebelum akhir Julai 2024,” katanya.
Menurut Anwar, perbincangan terus dijalankan antara kerajaan negeri Sabah dan kerajaan persekutuan berkenaan pelbagai isu termasuk masalah kemisikinan, isu bekalan air dan isu bekalan elektrik.
Bagi Isu bekalan elektrik kata Anwar, perbincangan cadangan jangka pendek telah disegerakan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang mana bekalan dari Miri akan di bawa masuk ke Sabah melalui Sipitang sekaligus boleh membawa pelaburan baharu ke Sabah.
Anwar bercakap demikian di Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Penampang.