Kerajaan tegas tidak benarkan abu Chin Peng dibawa ke Malaysia - Ahmad Zahid
Bernama
September 23, 2013 16:20 MYT
September 23, 2013 16:20 MYT
Kerajaan tegas dalam keputusannya untuk tidak membenarkan abu mayat bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa balik ke negara ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu bagi mengelak individu atau pihak berkenaan membina memorial atau lain-lain, yang seolah-olah mengiktiraf Chin Peng.
"Kita juga perlu mengambil kira perasaan anggota veteran tentera dan polis serta keluarga mereka yang menjadi mangsa kekejaman Chin Peng semasa mengetuai PKM," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini Isnin.
Katanya Chin Peng juga tidak pernah mengambil peluang untuk kembali ke negara ini sedangkan kerajaan menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), menawarkan dua peluang kepadanya untuk berbuat demikian selepas Perjanjian Hatyai pada 2 Dis 1989.
"Tawaran itu dibuat atas semangat perjanjian tersebut namun semakan rekod di JPN menunjukkan Chin Peng tidak menghantar sebarang permohonan, melainkan dia menggunakan nama lain," kata Ahmad Zahid.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, 90, dilapor meninggal dunia pada 16 Sept lepas akibat sakit tua di sebuah hospital di Bangkok, Thailand.
Pada hari samaPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan tidak akan membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia selepas mengambil kira kekejaman yang dilakukannya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pertandingan yang dihadapinya bagi mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno pada 19 Okt ini, Ahmad Zahid menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan terbaik.
"Saya berharap tiada sebarang elemen negatif dalam berkempen," katanya yang menyifatkan pertandingan itu sebagai 'mesra dan sihat' bagi meneruskan kesinambungan parti.
Selain Ahmad Zahid, turut mempertahankan jawatan itu ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Mereka berdepan cabaran Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.