Kerajaan tanggung RM30 juta tol percuma semasa Deepavali

Ridauddin Daud
November 16, 2023 15:05 MYT
Kerajaan menanggung kos RM30 juta selepas memberikan tol percuma selama dua hari sempena perayaan Deepavali baru-baru ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan menanggung kos RM30 juta selepas memberikan tol percuma selama dua hari sempena perayaan Deepavali baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkongsikan angka itu di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut Abdul Rahman, kerajaan perlu menangung kos tinggi untuk menghapuskan tol di seluruh negara malah pada tahun lepas juga, kerajaan menanggung kira-kira RM435 juta disebabkan penangguhan kenaikan tol.
“Pada tahun 2022, saja, kita melibatkan anggaran kira-kira RM435 juta…kita menanggung kenaikan kos disebabkan penangguhan kenaikan tol.
“Untuk penstrukturan semula kadar tol perjanjian konsesi ini, rundingan adalah bergantung kepada dua pihak sama ada dari konsesi itu sendiri dengan pihak kerajaan dan akan diluluskan semestinya dari Kementerian Kewangan.
“Ini perlu kajian secara menyeluruh. Kalau keseluruhan tol dalam negara nak dihapuskan, ia melibatkan hampir RM400 bilion kalau nak hapuskan tol ini dan penggantian kepada kos tersebut.
“Semasa Deepavali, saya rakamkan ucapan terima kasih khusus kepada Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan kerana telah memberi selama dua hari tol percuma dan melibatkan kos sebanyak RM30 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN - Pasir Mas) yang bertanya kos ditanggung kerajaan bagi tol percuma itu dan usaha kerajaan dalam menghapuskan tol.
#Deepavali #tol percuma #Perdana Menteri #Dewan Rakyat #Abdul Rahman Mohamad
;