Kerajaan tanggung makan, penginapan pelajar luar negara tidak dapat pulang
Astro Awani
April 3, 2020 15:13 MYT
April 3, 2020 15:13 MYT
Kerajaan bersetuju untuk menanggung perbelanjaan makan dan minum serta penginapan pelajar di luar negara yang tidak dapat pulang ke tanah air berikutan sekatan disebabkan COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, pembiayaan berkenaan akan dibuat melalui penaja-penaja pelajar terbabit.
Keputusan itu dibuat selepas mendengar keluhan ibu bapa yang bimbang dengan keadaan anak-anak mereka yang tidak dapat pulang selepas tamat pengajian di luar negara.
"Ramai ibu bapa yang mengadu anak-anak mereka yang telah tamat pengajian, tetapi tidak boleh pulang kerana sekatan di negara berkaitan yang tidak membenarkan penerbangan keluar dan sebagainya.
"Kerajaan telah bersetuju melalui penaja-penaja mereka seperti MARA, JPA, KPT dan Petronas... kerajaan setuju menanggung pelajar yang masih berada di luar negera, yang tamat pengajian dan yang boleh pulang tetapi tidak mampu untuk pulang.
"Kerajaan akan membantu daripada segi tempat tinggal, makan minum... (ini akan dilakukan dengan) akan ditanggung oleh penaja-penaja mereka," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Justeru, beliau berharap bantuan berkenaan akan melegakan ibu bapa pelajar terlibat selain meringankan beban pelajar yang terkesan.
"Jadi , ibu bapa tidak perlu bimbang... sebab ramai yang mengatakan anak mereka sepatutnya pulang... jadi (kini) mereka tidak mampu bayar sewa rumah dan membeli makanan. Jadi kerajaan akan bantu dari segi tempat tinggal dan makan minum serta sebagainya," ujarnya.
#air
#COVID19
#ismail sabri yaakob
#kerajaan
#keselamatan
#MARA
#Media
#pelajar
#penerbangan
#Petronas