Kerajaan tanggung kos bawa pulang 63 jemaah umrah Malaysia terkandas

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 9, 2022 14:00 MYT
Idris berkata, usaha sedang dilakukan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah untuk menyelaraskan urusan membawa mereka pulang. - Gambar fail
IPOH: Kerajaan akan membawa pulang 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia yang terlandas di Arab Saudi sejak Jun lalu, dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, usaha sedang dilakukan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah untuk menyelaraskan urusan membawa mereka pulang.
“Pihak keluarga tidak perlu bimbang mengenai kos, kerana ia akan ditanggung kerajaan,” katanya.
Beliau ditemui selepas program santai anak muda di Simpang, dekat sini, hari ini.
Pada Sabtu, media melaporkan seramai 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun 2022.
Kesemua mereka telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas.
Bagaimanapun, mereka hanya berada di Madinah dan tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.
#jemaah umrah #terkandas di Arab Saudi #tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah #Idris Ahmad