Kerajaan tanggung kerugian RM185 juta akibat lebihan vaksin COVID-19 - Dr Dzulkefly

Umavathi Ramayah
Julai 11, 2024 05:15 MYT
Dzulkefly berkata beliau memahami keadaan ketika itu untuk bersaing mendapatkan vaksin memandangkan Malaysia pertama kali berdepan dengan situasi seumpama itu. - Foto Japen
KUALA LUMPUR: Malaysia menanggung kerugian lebih RM185 juta akibat lebihan vaksin COVID-19 setakat 11 Jun lalu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Ringkasan AI
  • Kerugian RM185 Juta: Kerajaan Malaysia menanggung kerugian sebanyak RM185 juta akibat lebihan vaksin COVID-19 yang telah tamat tempoh, termasuk kos logistik.
  • Stok Vaksin Dilupuskan: Sebanyak 9.2 juta dos stok vaksin COVID-19 pelbagai jenama telah dilupuskan di fasiliti Kementerian Kesihatan dan gudang simpanan vaksin, iaitu sebanyak 10.8% dos luput berbanding dos yang diterima.
  • Situasi Pertama Kali: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memahami keadaan ketika itu kerana Malaysia pertama kali berdepan dengan situasi seumpama itu, dan SOP untuk pandemik kini lebih jelas.

Beliau menjelaskan, jumlah itu melibatkan kos bagi 9.2 juta stok vaksin COVID-19 pelbagai jenama yang terpaksa dilupuskan.
Menurutnya, menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan secara rasmi pada 24 Februari 2021, kerajaan menerima sebanyak 84.5 juta dos vaksin COVID-19 pelbagai jenama daripada sumber perolehan kerajaan dan sumbangan dari luar.
"Sehingga 11 Jun 2024, sebanyak 9.2 juta dos stok vaksin COVID-19 pelbagai jenama telah dilupuskan di fasiliti Kementerian Kesihatan dan gudang simpanan vaksin COVID-19 iaitu sebanyak 10.8 peratus dos luput berbanding dos yang diterima.
"Saya tidak bermaksud bersifat negatif terhadap mana-mana menteri terdahulu daripada saya, namun soalan ini jarang-jarang dijawab oleh menteri kerana melibatkan obligasi kontrak.
"(Namun) saya sedia untuk memberikan jawapan, yang ditanggung kerajaan dari segi kerugian adalah RM185 juta. Ini juga termasuk hal-hal berkait logistik, dari sudut simpanan stok," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian kepada soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah sebenar vaksin COVID-19 yang terpaksa dilupuskan kerana tamat tempoh dan anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan.
Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor bagaimanapun menjelaskan beliau memahami keadaan ketika itu untuk bersaing mendapatkan vaksin memandangkan Malaysia pertama kali berdepan dengan situasi seumpama itu.
"Bagi menteri-menteri terdahulu daripada saya, mereka tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) atau best practice atau benchmarking kerana itu adalah pertama kali pandemik di negara kita.
"Saya memahami kalaupun ada lebihan adalah terkait dengan persaingan untuk mendapatkan perolehan vaksin dalah sangat sengit. Setelah mendepani pandemik ini pertama kali, kita tahu sedikit sebanyak SOP untuk pandemik yang kedepan ini," jelasnya lagi.
#Kementerian Kesihatan #COVID-19 #kerugian #lebihan vaksin #Dzulkefly Ahmad #Dewan Rakyat #SOP #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Parlimen