Kerajaan tangguh laksana tarif air baharu - Tuan Ibrahim

Fareez Azman
Mac 21, 2021 16:53 MYT
Menurut Tuan Ibrahim, meskipun terdapat rintihan daripada operator air agar tarif air baharu dinaikkan, namun pada masa yang sama situasi yang dihadapi rakyat ketika ini juga perlu diambil kira. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbang dan memperhalusi semula waktu yang tepat bagi melaksanakan tarif baharu air yang tidak membebankan rakyat.
Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, meskipun terdapat rintihan daripada operator air agar tarif air baharu dinaikkan, namun pada masa yang sama situasi yang dihadapi rakyat ketika ini juga perlu diambil kira.
"Bila saya masuk (kementerian) antara fokus kita adalah isu ini kerana perkara ini sudah lama, jadi kita kena bina sistem terlebih dahulu dan setakat ini kita masih belum mengumumkan sebarang kenaikan.
"Saya sebelum ini pun ada sebut dalam Parlimen, walaupun operator air asyik merayu untuk kenaikan tetapi di waktu rakyat tengah susah, kita tidak boleh bebankan rakyat.
"Walaupun sebenarnya kalau kenaikannya adalah RM1 ke RM2 contohnya, bagi orang yang pendapatan agak tinggi tidak ada-apa sangat. Tetapi air yang kita minum itu mahal sangat sebenarnya.
"Jadi kalau boleh kita nak perkara ini diberikan pertimbangan oleh semua pihak," jelasnya dalam temubual bersama Sinar Harian pada Ahad.
Bagaimanapun jelas Tuan Ibrahim, kerajaan akan mempertimbangkan perkara itu pada waktu yang tepat.
Mekanisme Penetapan Tarif Air (TSM)
Malah, menurut Tuan Ibrahim, pihaknya telah membina satu sistem iaitu Mekanisme Penetapan Tarif Air (TSM) bagi menetapkan tarif baharu air yang lebih telus, sistematik dan adil.
Jelasnya, kerajaan turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan TSM itu tidak akan membebankan rakyat terutamanya golongan B40.
“Tetapi orang yang ada duit, kaya dan yang berpendapatan tinggi, mereka boleh bayar dan dalam Islam, ada perintah yang menyatakan bahawa ‘Ambillah harta orang kaya ini sebagai sedekah untuk tolong orang miskin dalam kalangan mereka’.
“Kita ambil harta orang kaya untuk tolong orang miskin dalam kalangan kita. Itu kaedah kita,” ujarnya lagi.
Ada negeri tidak semak semula tarif air sejak 38 tahun
Mengulas lanjut, jelas Tuan Ibrahim, terdapat beberapa negeri yang belum menyemak semula tarif air sejak 38 tahun lalu.
“Contohnya, Pahang yang mana tarif airnya sudah 38 tahun tidak naik. Ini bukanlah soal kita nak bebankan rakyat tetapi kita kena rasional.
“Sebab bahan mentah makin naik, jadi loji dan alat-alat gantinya juga makin hari makin naik.
"Ini menyebabkan kos untuk rawatan air turut naik. Kita tahu buka air jernih, itu sahaja. Bila air keruh kita mengeluh tetapi kita tidak bayar kos sebenar untuk harga mendapatkan air jernih,” katanya lagi.
Tambahnya, tarif air tidak seragam menunjukkan jurang perbezaan yang ketara antara negeri-negeri.
"Pertama sekali saya lihat kenaikan ini tidak sama sebab ada negeri yang stabil dan mengenakan harga tinggi seperti Johor dan Pulau Pinang.
"Negeri seperti ini yang banyak industri, kos perkhidmatan air mereka akan ditampung oleh industri itu sendiri kerana harga penggunaan air industri lain adalah berlainan.
“Misalnya, harga penggunaan perkhidmatan air di sekolah, rumah ibadat dan rumah persendirian adalah berbeza. Jadi, sekarang ini tarif yang digunakan ini adalah tidak seragam," jelasnya.
Tidak tolak kenaikan tarif sehingga 15 peratus
Menteri Alam Sekitar dan Air itu turut membayangkan kenaikan tarif air lebih tinggi melibatkan negeri-negeri yang sudah lama tidak menyemak semula harga.
Namun, jelas Tuan Ibrahim, penetapan tarif air itu akan dilakukan secara berperingkat.
"Bayangkan sudah 35 tahun tidak naik, bila naik sekali dan bandingkan dengan negeri lain yang dah tinggi mesti jauh beza. Sebab kos seperti bahan kimia hampir sama sahaja antara negeri-negeri. Jadi kita mungkin akan melaksanakannya secara berperingkat.
"Begitulah, (tarif air) tidak akan sama tetapi dengan TSM ini akan dibangunkan di seluruh negara tidak seperti dulu yang dilakukan mengikut negeri, bermakna ada negeri naik dan ada yang tidak naik," jelasnya lagi.
#Tuan Ibrahim Tuan Man #Parlimen #Tarif air baharu #pelaksanaan #kerajaan #Kementerian Alam Sekitar dan Air #rakyat #air #menteri #politik #PAS #TSM #air mentah #bekalan air
;