Kerajaan tambah RM35 juta peruntukan bagi program perkasa komuniti PPR - PM Anwar
Hilmi Malik
April 8, 2023 12:43 MYT
April 8, 2023 12:43 MYT
SHAH ALAM: Perdana Menteri hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM35 juta untuk program memperkasakan komuniti projek perumahan rakyat (PPR) di Selangor dan Kuala Lumpur.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu dijangka memberi manfaat kepada 50,000 penduduk PPR menerusi program Kita Untuk Kita (K2K), khususnya melibatkan kira-kira 12 perumahan yang dikenal pasti bermasalah dan tenat.
"RM35 juta itu kita sudah luluskan dan boleh dilaksanakan dalam kadar segera sebab ada rumah-rumah dalam keadaan tenat.
"Saya juga bincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya percepatkan proses dengan tidak ikut tender yang biasa dan (tempoh) panjang, tetapi tender terhad supaya dipercepatkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Kita Untuk Kita di PPR Kampung Baru Hicom di sini pada Sabtu.
Yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Program K2K antaranya bertujuan membina kapasiti dan memperkasa peranan komuniti untuk menggalas tanggungjawab bersama terkait hal pengurusan bangunan dan persekitaran serta pengisian di kawasan perumahan awam.