Kerajaan tambah anggota, ketatkan pemantauan SOP - Ismail Sabri

Ridauddin Daud
Jun 5, 2021 15:58 MYT
Ismail Sabri Yaakob (berbaju biru) menyapa penunggang motosikal ketika melakukan pemantauan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk menambah bilangan anggota yang akan terlibat dalam pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya melibatkan sektor industri.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Sabtu bersetuju dengan cadangan itu dan jumlahnya akan ditambah mengikut keperluan.
Tambahnya, setakat ini seramai 13,500 anggota ditugaskan di seluruh negara dan dengan penambahan itu, pemeriksaan mengejut di kilang-kilang dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
"Kita akan tambah lagi anggota dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pun setuju kita tambah supaya jika ada lawatan mengejut ke kilang tertentu, tentera pun akan terlibat sama untuk pantau.
"Kita mahu pastikan sektor tak dibenarkan dibuka dapat kita tahu dan pantau. Sekiranya tak dibenarkan buka tapi mereka buka (premis), kita akan arahkan untuk tutup," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan pemantauan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Ampang, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memohon rakyat membantu dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang pelanggaran SOP kepada kerajaan.
Jelasnya, ia termasuklah maklumat majikan yang memaksa pekerja masuk ke pejabat meskipun arahan Bekerja Dari Rumah telah dikuatkuasakan.
"Kerajaan membuka talian hotline bagi menggalakkan rakyat membuat aduan melalui Malaysia Government Call Centre (MyGCC) di talian 03-80008000 atau emel ke aduan.pematuhan@mkn.gov.my.
"Aduan melibatkan pekerja pula boleh dibuat di talian hotline Kementerian Sumber Manusia di 03-88862409, 03-88862352 dan 03-88889111 bagi aduan berkenaan pelanggaran SOP.
"Pekerja juga perlu melaporkan jika majikan didapati melanggar syarat kapasiti 60 peratus dan jika ada yang dipaksa bekerja walaupun memakai gelang kuarantin," ujar beliau.
Tegasnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka seperti kompaun atau mengarahkan penutupan operasi syarikat terlibat.
#ismail sabri yaakob #Sekatan Jalan Raya #Majlis Keselamatan Negara #Angkatan Tentera Malaysia #sektor industri
;