Kerajaan tak tutup ekonomi sepenuhnya, tumpu sektor kilang dan pembinaan

Hasimi Muhamad
Februari 1, 2021 14:01 MYT
ISMAIL: Tumpuan ketika ini diberikan kepada sektor perkilangan dan pembinaan. - Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tidak akan menutup ekonomi sepenuhnya dalam usaha mengimbangi kehidupan rakyat ketika mengekang penularan COVID-19.
Sebaliknya, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tumpuan ketika ini diberikan kepada sektor perkilangan dan pembinaan.
Tegas Ismail Sabri, sektor berkenaan ketika ini mencatatkan kes jangkitan tertinggi COVID-19.
“Sebab kita buat tindakan kepada kilang dan tapak pembinaan, kita arahkan semua warga asing membuat ujian saringan secara wajib.
“Kita wajibkan ujian saringan ke atas pekerja asing yang mungkin menyebabkan penyakit merebak dalam komuniti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri membuat tinjauan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Sentul dan Tol Gombak, selain turut menyerahkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan.
Jelas Ismail Sabri, setiap pekerja asing di seluruh negara akan diwajibkan menjalani ujian saringan mulai hari ini.
Tambah beliau, kerajaan memahami denyut nadi rakyat khususnya peniaga-peniaga kecil yang berdepan impak susulan penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri menambah kerajaan turut akan meminda Ordinan Darurat melibatkan perumahan pekerja-pekerja asing yang dipercayai menjadi punca kepada peningkatan kes COVID-19.
“Perumahan juga salah satu punca (peningkatan kes) kerana perumahan tak kondusif. Pekerja-pekerja duduk secara berhimpit sehingga 20 orang dalam satu rumah.
“Jadi mungkin kita akan pinda Ordinan Darurat untuk memastikan majikan menyediakan tempat yang baik untuk pekerja dalam waktu yang kita tetapkan.
“Jadi, kita ada kilang, tapak binaan dan kita sudah tutup banyak kilang kerana melanggar peraturan,” jelas beliau.
Mengulas mengenai lanjutan PKP pula, Ismail Sabri berkata Perdana Menteri akan mempengerusi Majlis Keselamatan Negara berkenaan COVID-19 pada Selasa.
Perkara tersebut akan diputuskan selepas mendengar penjelasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung status terkini penularan COVID-19.
#kerajaan #pandemik #COVID-19 #ekonomi #sekatan pegerakan #PKP #jangkitan COVID-19 #ismail sabri yaakob #sektor perkilangan #pembuatan
;