Kerajaan tak fikir untuk laksanakan PKP dalam waktu terdekat - PM

Ridauddin Daud
Oktober 6, 2020 18:38 MYT
Muhyiddin berkata, sekiranya PKP dilaksanakan sekali lagi, ia akan membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak memikirkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah berkurung di seluruh negara pada waktu ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya PKP dilaksanakan sekali lagi, ia akan membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara.
“Apa yang akan dilakukan kerajaan adalah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes-kes COVID-19 yang tinggi.
“Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.
“Saya percaya kesiasiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan COVID-19 tanpa perlu kita menutup sektor ekonomi yang pernah kita lakukan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perutusan Khas Situasi Semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi beliau pada Selasa.
BACA: COVID-19: 691 kes baharu dilaporkan, majoriti di Penjara Alor Setar
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)
Tambahnya, sistem kesihatan di negara ini ebih bersedia pada masa sekarang untuk menangani penularan wabak COVID-19 dalam komuniti berbanding sebelum ini.
“Kita sekarang lebih bersedia dalam aspek pengalaman dan kakitangan. Kita sudah memahami sifat virus itu dengan lebih baik dan kita mempunyai fasiliti dan peralatan mencukupi.
“Tapi kita perlu putuskan rantaian virus ini dan langkah terbaik adalah untuk duduk di rumah terutamanya di tempat-tempat yang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (TEMCO) dilaksanakan.
“Kita mesti ratakan lengkung ini. Kita pernah lakukannya sebelum ini dan saya percaya kita boleh lakukannya sekali lagi,” ujarnya.
BACA: COVID-19: 691 kes baharu dilaporkan, majoriti di Penjara Alor Setar
BACA: COVID-19: Sekatan perjalanan keluar masuk Sabah dari 12 hingga 25 Oktober
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat tidak mempedulikan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan masalah dihadapi negara pada waktu ini.
“Saya tahu ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh pada waktu ini dengan mempolitikkan masalah yang sedang dihadapi oleh negara.
“Jangan kita pedulikan mereka. Kita mesti fokus kepada usaha untuk menangani pandemik ini secara bersama,” katanya.
#PKP #PKPD Bersasar #Muhyiddin #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Perutusan Khas #COVID-19 #SOP #Facebook #menteri #undang-undang #PKPD #perintah kawalan pergerakan #ekonomi
;