Kerajaan tak ada dasar jelas, bimbangkan pelabur - Presiden MCA

Hasimi Muhamad
Julai 27, 2023 22:23 MYT
Ka Siong berkata perkara itu dibangkitkan melalui kenyataan Maybank Investment Bank yang boleh menimbulkan ketidakyakinan dalam kalangan para pelabur - Foto/Tangkap layar TikTok Wee Ka Siong
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan didakwa tidak mempunyai ketentuan politik dan dasar yang jelas untuk membawa hala tuju negara ini ke arah kestabilan ekonomi lebih baik.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu dibangkitkan melalui kenyataan Maybank Investment Bank yang boleh menimbulkan ketidakyakinan dalam kalangan para pelabur.
"Bermaksud ini adalah satu kenyataan daripada bank yang dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), satu institusi penting. Ini satu e-mel yang dihantar kepada pelanggan Maybank, bukan calang-calang. Mereka adalah pelabur.
"Apabila tidak ada keyakinan dalam kalangan pelabur apa akan terjadi? Mereka tak yakin, macam mana mereka nak melabur? Itu soal yang akan memberi kesan kepada rakyat," katanya dalam satu rakaman video TikTok pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Maybank Investment Bank dalam e-mel kepada pelanggannya bulan ini, yang seolah-olah mengkritik dasar 'tidak jelas' kerajaan tular di media sosial.
Bagaimanapun, penyokong pakatan kerajaan mendakwa imej e-mel itu telah diubah suai dan bank pelaburan itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Pengangkutan itu berkata kenyataan sedemikian mungkin turut memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Kalau dilihat dari segi wang yang keluar dari Malaysia secara bersih berjumlah RM3.7 bilion, perbandingan tahun ke tahun. Ini angka menakjubkan.
“Tidak susah nak tengok akaun, ada pendapatan maka ada perbelanjaan. Perbelanjaan tidak menjadi satu masalah sangat. Nak belanja senang, tetapi mendapatkan sumber pendapatan itu adalah menjadi satu cabaran," katanya lagi.
Selain itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, sebelum ini beliau berkali-kali membangkitkan isu berkaitan soal kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) yang memberi kekeliruan berhubung caj bil elektrik pengguna.
"Baru-baru ini turun kepada 17 sen. Orang tanya kita naik atau turun bil elektrik?
"Ini perlu ada satu ketentuan. Jangan cakap tak naik tetapi akhirnya bil elektrik setiap bulan naik, itu masalahnya," tambah Ka Siong.
#Kerajaan Perpaduan #Kenyataan Maybank Investment Bank #Wee Ka Siong #dasar #politik
;