Kerajaan sungguh-sungguh urus krisis kesihatan - Perdana Menteri

Astro Awani
April 23, 2021 18:57 MYT
Setiap hari Perdana Menteri bersama anggota kerajaan bermesyuarat bagi membincangkan perkembangan mutakhir kes, kemudahan pesakit, keperluan ventilator serta tuntutan rakyat yang lain. - Gambar fail
MUAR: Kerajaan sentiasa terus berusaha keras dalam menangani pendemik COVID-19 di negara ini sebagai menangkis tanggapan sebahagian rakyat yang menyatakan bahawa kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam menguruskan krisis kesihatan ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap hari beliau bersama anggota kerajaan bermesyuarat bagi membincangkan perkembangan mutakhir kes, kemudahan pesakit, keperluan ventilator serta tuntutan rakyat yang lain.
Kesemua perkara itu, jelas beliau, diperhalusi dan diteliti.
“Saya cakap begitu kerana apa? Kerana ada tanggapan masyarakat bahawa kerajaan tak usaha bersungguh menangani masalah ini.
“Kita berusaha bersungguh-sungguh sebab itulah jika dibandingkan peratusan penduduk negara kita dengan (negara) lain lebih besar. Peratusan yang telah berjangkit dengan penyakit ini jauh lebih rendah 0.003 peratus lebih kecil dari negara maju,” kata Muhyiddin.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada majlis bacaan Yassin dan tahlil serta penyampaian sumbangan sempena Ramadan di Masjid Haji Muhammad Yassin di sini pada Jumaat.
Jelas muhyiddin, sehingga kini kerajaan masih terus berusaha menguruskan pandemik COVID-19 ini.
Tegas beliau, sekiranya krisis tidak diuruskan dengan cekap dan berkesan akan membawa musibah dari segi kesihatan dan ekonomi negara.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP)sedia ada bagi memastikan pendemik dapat ditangani segera.
#kerajaan #sungguh urus krisis kesihatan #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Pandemik COVID-19
;