Kerajaan singkatkan proses kelulusan pelaburan
Israr Khalid
Jun 11, 2019 16:27 MYT
Jun 11, 2019 16:27 MYT
Kerajaan komited untuk memendekkan proses permohonan pelaburan sebagai usaha untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerumitan untuk pelabur mendapat kelulusan antara faktor yang merencatkan kemasukan pelaburan baharu ke negara ini.
Kata beliau, sektor pembinaan umpamanya yang ketika ini didapati perlu melalui 60 proses melibatkan pelbagai agensi berkaitan sebelum sesuatu pelaburan dalam sektor pembinaan dapat diluluskan.
“Kita sudah ada pusat sehenti tetapi ia tidak membantu mempercepatkan proses.”
“Justeru Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah ditugaskan untuk mengurangkan bilangan proses dan bilangan setiap agensi yang terlibat untuk memendekkan masa sesebuah permohonan diluluskan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat ketiga Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Beliau memberi contoh bagaimana ia boleh dilaksanakan, dengan mewujudkan carta aliran kerja untuk keseluruhan proses, kemudian mengenal pasti agensi yang perlu terlibat.
“Sekiranya mereka meluluskannya, hanya letakkan tanda ‘tick’. Dan sepatutnya mereka tidak perlu mengambil peduli sama ada agensi lain meluluskannya atau tidak. Mereka hanya luluskan bahagian mereka sahaja,” katanya.