KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) dari tahun 2014 hingga 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan itu adalah hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

Ujarnya, terdapat empat terma RCI yang dipersetujui Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini termasuk menumpukan kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.


[TERKINI] Siasatan pengurusan dan operasi Tahung Haji dari 2014-2020

"(Selain itu) Menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.

"Mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

"Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus LTH.

"Mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Kerajaan teliti cadangan penubuhan RCI Tabung Haji

BACA: Cadangan tubuh RCI Tabung Haji dijangka ke Kabinet minggu ini - Dr Zulkifli

BACA: 'Laporan kewangan Tabung Haji 2018 tidak dibentang, bukan tak buat' - Mujahid

Ujarnya, Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut mengenal pasti senarai keahlian RCI yang
dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

Bagaimanapun, perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Penubuhan RCI ini adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada Kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan LTH.

"Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan LTH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam," katanya.