Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada B40, M40

Sinar Harian
Julai 27, 2023 11:50 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif pemberian itu susulan melihat kepada kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat di negara ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif pemberian itu susulan melihat kepada kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat di negara ini.
"Bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta rakyat iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Peluncuran Memperkasa Ekonomi Madani di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara pada Khamis.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kejayaan pelaksanaan Program eBeliaRahmah (eBR), bukan sahaja memberi manfaat kepada dua juta belia, malah membantu sektor perniagaan menjana pendapatan mereka di samping membina masyarakat tanpa tunai.
Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan amat mengalu-alukan syarikat pemula Malaysia seperti PolicyStreet, Dropee, Lapasar dan Funding Societies yang boleh menjadi agen perubahan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penyediaan pembiayaan alternatif seperti 'equity crowdfunding' (pendanaan ramai ekuiti).
Jelas beliau, ia berikutan usahawan PMKS bergantung kepada permintaan domestik bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka.
"Kira-kira 79 peratus PMKS terdiri daripada perniagaan mikro. Walaupun kebanyakannya ialah pemilik tunggal atau mewarisi perniagaan keluarga, mereka punyai potensi berkembang lebih besar dan menembusi pasaran luar andai diberi dorongan dan kemudahan sewajarnya.
"Belanjawan Madani 2023 mengandungi lebih 70 inisiatif untuk perniagaan mikro dan kecil yang tertumpu kepada akses pinjaman dan jaminan pembiayaan.
"Banyak lagi yang mesti dilakukan. Kementerian Ekonomi telah memulakan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bertujuan untuk memperkukuh rantaian bekalan perniagaan," ujarnya.
Sementara itu, ulas Anwar, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti sedang merangka arus halalan tayyiban melalui Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dengan kerjasama industri dan ekosistem kewangan Islam untuk memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju ekonomi Islam global.
Katanya, usaha itu akan lebih menekankan pembiayaan ekuiti termasuk modal teroka, pendanaan ramai ekuiti dan ekonomi digital Islam, kewangan sosial Islam termasuk zakat, wakaf dan sedekah serta kaedah 'blended finance' yang menggunakan dana daripada sumber yang lebih luas.
"Pembaharuan kewangan Islam juga bakal memanfaatkan pertumbuhan dana alam sekitar, sosial dan tata kelola (ESG) sedunia.
"Insya-Allah usaha-usaha ini akan dapat memantapkan lagi sistem kewangan Islam di Malaysia seterusnya memperkukuh kedudukan kita sebagai peneraju ekonomi Islam global," ujarnya. - Sinar Harian
#Perdana Menteri #bantuan kerajaan #RM100 #e-Tunai
;