Kerajaan setuju tambah dana bangunkan projek LRT Pulau Pinang - PM Anwar
Abd Hadi Che Awang
Mei 6, 2023 15:56 MYT
Mei 6, 2023 15:56 MYT
PERMATANG PAUH: Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk menambah dana kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui skim khas bagi melaksanakan segera projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan langkah itu berupaya membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang disifatkannya sebagai keterlaluan, sejak lebih sepuluh tahun yang lalu di negeri itu.
Tambah beliau, pertemuan membabitkan kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri juga akan diadakan seawal minggu hadapan bagi membincangkan secara terperinci berhubung skim bagi pelaksanaan projek terbabit.
"Jemaah Menteri, (termasuk) Menteri Pengangkutan sudah berikan persetujuan secara prinsip, semalam saya ada pertemuan dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan pegawai Kementerian Kewangan untuk mencari kaedah yang terbaik.
"Dalam tempoh satu dua minggu kita akan ada pertemuan dengan Kerajaan Pulau Pinang untuk kita adakan skim yang benar-benar cukup kerana peruntukan itu agak besar, jadi (ianya adalah) berbentuk pinjaman, dan perlukan campur tangan kerajaan Persekutuan supaya (ia) dapat disegerakan," katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Aidilfitri sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang bersama Perdana Menteri, di UiTM Permatang Pauh, pada Sabtu.
Tambahnya lagi, pengumuman berkenaan juga dilihat mampu meredakan pelbagai isu atau kontroversi yang terkait dengan kerajaan Pulau Pinang termasuk Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).
Anwar turut menzahirkan kepercayaan penuh kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi menangani isu yang berbangkit dengan langkah langkah yang diambil dalam memberi kebaikan kepada semua pihak.