Kerajaan setuju struktur semula syarikat konsesi, kurangkan kadar tol di 6 lebuh raya
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 13, 2022 11:30 MYT
Oktober 13, 2022 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Prolintas dan Kumpulan IJM Corporation Bhd dan mengurangkan kadar tol di enam lebuh raya.
Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) hari ini.
"Lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang–KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
"Ia akan berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam 20 Oktober 2022.
"Manakala, pengurangan kadar tol bagi Lebuhraya Lekas dan Besraya di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023," katanya, di sini, hari ini.
Selain itu, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, kerajaan juga, katanya, akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.
Pada masa sama, kerja-kerja tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) juga akan dilaksanakan susulan kejadian banjir yang seringkali berlaku di lebuh raya itu.
Kesemua kerja-kerja penambahbaikan, menurut beliau, telah mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.
Melalui penstrukturan terbaharu ini, kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa pengguna Lebuh raya DASH akan turut menikmati tol secara percuma selama sebulan bermula tengah malam ini.
Lebuh raya DASH mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap 30 September lepas, mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi strategik seperti di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Sungai Buloh, dan Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak.
Tempoh perjalanan melalui lebuh raya tersebut dijangka dapat dijimatkan kepada 30 minit pada waktu puncak dari Persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Penchala berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.
Lebuhraya DASH merupakan laluan alternatif kepada pengguna di sebelah barat Shah Alam untuk melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik secara lebih berkesan.
#PROLINTAS
#IJM Corporation
#penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol
#pengurangan kadar tol