Kerajaan setuju secara dasar luluskan permohonan MOTAC, SOP perlu diperincikan

Nursyazwani Saiful Sham
Disember 15, 2020 19:50 MYT
MOTAC telah diminta untuk memperincikan garis panduan dengan jelas. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju secara dasar untuk meluluskan permohonan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk membuka aktiviti pelancongan termasuk aktiviti ‘outdoor’.
Namun, menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, MOTAC telah diminta untuk memperincikan garis panduan dengan jelas.
“Mesyuarat semalam bersetuju secara dasar cadangan oleh MOTAC berhubung pembukaan aktiviti pelancongan khususnya di tempat terbuka (outdoor) seperti Zoo Negara, Legoland dan lain-lain.
“Bagaimanapun, MOTAC telah diminta untuk membentangkan prosedur operasi standard (SOP) terperinci setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Pada masa sama, Ismail turut memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah membentangkan kepada mesyuarat MKN berhubung cadangan pembukaan aktiviti sukan terutamanya melibatkan sukan outdoor.
Namun, KBS juga telah diminta untuk membentangkan sop terperinci setelah berbincang dengan KKM dan MKN.
#kerajaan #MOTAC #Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya #aktiviti pelancongan #aktiviti outdoor #COVID-19 #MKN #KKM #Zoo Negara #Legoland
;