Kerajaan setuju RTM runding dapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2022 - Annuar
Bernama
Januari 31, 2022 19:48 MYT
Januari 31, 2022 19:48 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan secara prinsipnya sudah bersetuju untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) berunding dengan ejen dilantik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendapatkan hak penyiaran bagi Piala Dunia 2022.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan rundingan itu akan diketahui dalam masa terdekat.
"Insya-Allah kita perlu sedikit masa lagi untuk memuktamadkannya (rundingan) tetapi sudah pasti RTM akan menjadi salah satu saluran yang akan menyiarkan World Cup 2022," katanya selepas melancarkan Majlis Kerjasama Tajaan Jakel dan RTM di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai perkembangan dalam mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2022.
Mengulas mengenai akses media bagi parti-parti bertanding pada Raya Negeri (PRN) Johor, Annuar berkata, kerajaan bersetuju menggunakan model PRN Melaka dan Sarawak dengan penambahbaikan bagi memberi ruang kepada calon menggunakan saluran disediakan RTM sebagai medium memperkenalkan diri.
Beliau berkata, kaedah berkenaan bertujuan memberikan akses maklumat kepada pengundi mengenali calon-calon wakil rakyat yang bertanding dan seterusnya membantu mereka membuat keputusan sebagai pemilih.
"Kerajaan bersetuju supaya saluran radio dan televisyen kerajaan memberi ruang untuk membantu calon-calon dengan kaedah bersesuaian seperti PRN Melaka dan Sarawak.
"Oleh kerana ia Pilihan Raya Negeri jadi kita tak boleh gunakan masa siaran televisyen sepenuhnya kerana siaran televisyen adalah siaran nasional... radio pula mempunyai penyiaran setempat untuk tiap-tiap bandar seperti Johor Bahru dan sebagainya, itu boleh ditingkatkan lagi dan diberi ruang kepada calon," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini.
Mengenai kerjasama Tajaan Jakel dan RTM itu, Annuar berkata: "Saya berharap agar kerjasama seumpama ini akan dikembangkan lagi pada masa hadapan agar RTM terus kekal unggul dan menjadi pilihan nombor satu seluruh Keluarga Malaysia selaras dengan Pelan Transformasi RTM 2021-2023.
"Ini juga merupakan antara langkah penambahbaikan stesen penyiaran ini dalam pelan pembangunan agenda Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sejak 2021," katanya.
Kerjasama Tajaan Jakel dan RTM itu menyaksikan jalinan kerjasama strategik penajaan pakaian ikon Berita Perdana RTM selama enam bulan bermula 3 Feb ini, setiap hari pada 8 malam di saluran TV1 dan Berita RTM.
Kolaborasi ini antara usaha transformasi komponen Berita dan Ehwal Semasa RTM yang melibatkan penambahbaikan kepada kandungan berita dan penyampaian serta penampilan personaliti penyampai atau ikon siaran RTM. - BERNAMA