Kerajaan setuju pinda Akta 258, Akta 208 elak penyelewengan badan pemegang amanah
Bernama
September 9, 2024 22:05 MYT
September 9, 2024 22:05 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] dan Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208], bagi mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah yang ditubuhkan, antaranya bagi tujuan keagamaan, sosial dan kebajikan.
Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN), dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pindaan Akta 208, antaranya merangkumi tafsiran berhubung pemunya benefisial iaitu mereka yang mendapat manfaat daripada badan amanah.
Pindaan Akta 258 pula antaranya melibatkan penetapan peraturan berkaitan pendedahan maklumat, konflik kepentingan dan sumber dana, serta memberi kuasa bagi meningkatkan pemantauan, pengesahan dan pemeriksaan laporan serta penyeliaan dana.
"Pindaan yang dipersetujui dalam Mesyuarat JKKTN ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh tatakelola, integriti dan membanteras rasuah, khususnya dengan memberi perhatian serius terhadap isu melibatkan profesionalisme agensi penguat kuasa yang memberi persepsi negatif terhadap orang awam, di samping isu rasuah yang melibatkan perolehan kerajaan serta penyalahgunaan dana awam, terutamanya melibatkan entiti yang menerima dana daripada kerajaan.
"Isu ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, tetapi turut merosakkan kredibiliti tatakelola awam dan integriti institusi kerajaan," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan untuk menggalakkan semua syarikat gred G7 yang mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK), untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 AntiBribery Management System (ABMS).
Selain itu syarikat berkenaan juga akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan bagi perolehan kerja bernilai RM100 juta ke atas bagi tempoh dua tahun pertama.
Menurut kenyataan itu, inisiatif tersebut menyokong prinsip liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
"Kerajaan sekali lagi menegaskan iltizam untuk memperkasa tatakelola dan integriti serta menyokong penuh agenda pembanterasan rasuah nasional.
"Setiap usaha yang diambil akan memastikan tatakelola dan integriti sektor awam terus diperkukuh demi kepentingan negara dan rakyat," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Akta 258
#Akta 208
#pinda
#Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim