Kerajaan setuju diskaun tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina - Nanta

Astro Awani
Januari 24, 2025 15:55 MYT
Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju untuk memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju untuk memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025.

Ringkasan AI
  • Kerajaan Madani dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju untuk memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
  • Implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

Menerusi kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.
‘’Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
‘’Sepanjang tempoh tersebut, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024,’’ katanya.
Keputusan memberikan diskaun 50 peratus dari kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa).
Namun kenyataan sama menyebut bahawa potongan tol 50 peratus ini khusus bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
‘’Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.
‘’Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,’’ tambahnya.
Justeru, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini.
Beliau pada masa sama berkata, pengguna disarankan memuat turun apps MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA).
Ini bagi meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya kita semua dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sebenar sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
#diskaun tol #Kementerian Kerja Raya #Tahun Baharu Cina #terkini
;