Kerajaan setuju bayar pampasan kepada 177 pemilik rumah, rumah kedai di laluan LTU

Bernama
Julai 25, 2024 10:20 MYT
Ahmad meninjau Pembinaan Projek Jalan Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Kelantan di Bandar Utama Gua Musang di sini hari ini. - Bernama
GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi pampasan kepada 177 pemilik rumah dan rumah kedai yang berada di sepanjang laluan pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU), kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata pampasan itu dibuat atas dasar kemanusiaan kepada penduduk setinggan yang terkesan dengan projek berkenaan.
"Pemilik rumah dan rumah kedai yang terlibat ini adalah mereka yang tinggal di kawasan setinggan tanpa geran di sepanjang laluan projek dari Gua Musang ke Kuala Krai.
"Semalam saya telah membawa isu ini dalam mesyuarat pra-kabinet yang dipengerusikan Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi dan saya memaklumkan elok jika kita membayar pampasan kepada mereka ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat Pembinaan Projek Jalan Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Kelantan di Bandar Utama Gua Musang di sini hari ini.
Ahmad Maslan berkata pampasan itu akan dibayar dengan formula tertentu disebabkan perobohan dan perpindahan rumah yang mereka bina.
"Pihak kementerian akan menyelidik dan meneliti pemberian pampasan ini secepat mungkin bagi membantu pemilik rumah serta rumah kedai yang terlibat," katanya.
Beliau berkata kementerian akan menulis surat kepada Kementerian Kewangan dan memberi formula serta pampasan yang perlu diberikan kepada mereka atas dasar kemanusiaan.
"Pampasan ini melibatkan kos jutaan ringgit, namun saya tidak mahu menyebut jumlah yang sebenar dan kita sedang membuat kiraan dan formula tertentu," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Maslan #KKR #LTU #pampasan pemilik rumah