Kerajaan serius terajui usaha tangani isu perubahan iklim - Muhyiddin
Bernama
Januari 25, 2014 08:00 MYT
Januari 25, 2014 08:00 MYT
Kerajaan serius menerajui usaha menangani isu perubahan iklim dengan menggalakkan langkah adaptasi dan perancangan pembangunan mesra alam yang strategik untuk kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu termasuk penglibatan aktif sektor swasta dan perniagaan dengan memastikan setiap peringkat aktiviti komersil mereka adalah mesra alam ataupun mencapai piawaian proses hijau yang terbaik.
"Saya berharap sektor swasta dan perniagaan tidak lagi berlengah, dan segera bertindak untuk mewujudkan strategi perniagaan yang merangkumi piawaian mesra alam, sekiranya belum dibuat.
"Dan jika telah ada, ia perlu terus dilaksana dan diamalkan kerana kesan kerosakan kepada alam sekitar akan melibatkan kos pemulihan yang tinggi, atau lebih teruk lagi kerosakan itu mungkin tidak langsung boleh diperbaiki," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Hibiscus Perdana Menteri 2012/2013 di sini, Jumaat malam.
Muhyiddin berkata sekiranya proses pembangunan mampan dapat dilaksana dengan berkesan oleh komuniti usahawan, ia juga berupaya menjana margin keuntungan komersil lebih tinggi dan paling utama dapat meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat bagi jangka masa panjang.
Beliau berkata kerajaan menghargai peranan syarikat multinasional yang diakui mempunyai pelbagai sumber untuk melaksana program pembangunan mampan berbanding syarikat lain yang sederhana dan lebih kecil.
"Bahkan, kebanyakannya (syarikat multinasional) sedang dan masih mencuba pelbagai jalan dan kaedah untuk meningkatkan amalan dan kualiti perlaksanaan di setiap tahap," katanya.
Muhyiddin berkata kerajaan juga sentiasa menggalakkan perniagaan kecil dan sederhana (SME) menjadi kreatif dalam melaksana proses hijau di pelbagai peringkat aktiviti komersil.
Namun, katanya kerajaan sedar kebanyakan SME mengutarakan isu berkaitan kos terutamanya bagi mengekalkan margin keuntungan dan memperoleh teknologi berkaitan yang dianggap sebagai beban.
Oleh itu, komuniti SME tempatan boleh mengoptimumkan pelbagai insentif kewangan dan bukan kewangan bagi membantu mereka menerap konsep dan perlaksanaan pembangunan lestari di dalam proses perniagaan mereka, katanya.
Timbalan Perdana Menteri juga berkata peralihan kepada teknologi mesra alam, yang kini mendapat permintaan tinggi dari negara luar, merupakan antara peluang perniagaan baharu yang boleh diceburi oleh usahawan tempatan.
Selain itu, katanya bagi meneruskan usaha memelihara dan memulihara ekosistem semulajadi, undang-undang berkaitan perlu disemak dan dikemas kini mengikut perkembangan semasa.
Contohnya, Akta Kualiti Alam Sekitar yang dikemas kini bagi memperketat piawaian kualiti alam sekitar dan mengenakan penalti berat kepada mereka yang melaksanakan kesalahan mengikut akta itu.
Mengenai anugerah itu, Muhyiddin berharap ia dapat terus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar kepada lebih banyak industri dan SME.
Pada majlis itu, Star Publication (Malaysia) Bhd memenangi Anugerah Kewartawan Alam Sekitar.