Kerajaan serius tangani isu ekstremis sosial dalam kalangan belia
Hilal Azmi
November 17, 2014 18:18 MYT
November 17, 2014 18:18 MYT
Kerajaan memandang serius gejala ekstremis sosial yang melibatkan golongan belia pada masa kini.
Perkembangan serius ini yang memperdaya golongan tersebut sering menggunakan istilah jihad untuk memancing belia dari Malaysia untuk berjuang di negara bergolak sekitar Asia Barat.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, gejala tersebut menjadi ancaman kepada negara dan mampu meruntuhkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Justeru itu, pendekatan wasatiyah iaitu bersederhana dalam apa juga tindakan menjadi pendekatan terbaik dalam menangani gejala berkenaan,” ujar beliau yang memberitahu bahawa langkah bersederhana amat penting dalam memastikan ideologi dan tindakan belia berada pada landasan yang betul serta sihat.
Tambah Khairy, bersederhana bukan bermakna tidak ada pendirian tetapi mengambil jalan tengah daripada pendirian yang telah diambil.
“Kalau sekiranya ada belia yang tertarik untuk menyertai IS untuk berjihad atas kepentingan umat Islam, kita boleh sediakan program bawah MyCorps untuk buat kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan di negara Islam yang lebih miskin daripada Malaysia,” kata Khairy.
MyCorps merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk misi kemanusiaan di luar negara.
Menurut Ketua Pemuda UMNO itu lagi, kerajaan telah merangka dasar serta program yang relevan untuk memastikan belia tidak terjebak dengan gejala ekstremis sosial sehingga menjadi golongan ultra liberal atau ortodoks agama.
Khairy berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara, Sidang IV Penggal ke 29 sesi 2013-2014 di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak di ibu negara.