Kerajaan serius pantau alam sekitar, perubahan iklim

Sinar Harian
Mei 21, 2020 10:08 MYT
Kata Dr Ahmad Masrizal, biarpun tahap pencemaran dan kualiti udara direkodkan semakin pulih sepanjang tempoh PKP, namun pemantauan masih perlu dilaksana. - Gambar fail
Kerajaan memandang serius dan sentiasa memantau secara dekat isu kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim yang melanda negara kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, kementeriannya komited menangani masalah pencemaran dan memelihara alam sekitar bagi menjamin persekitaran lebih baik buat rakyat.
Katanya, biarpun tahap pencemaran dan kualiti udara direkodkan semakin pulih sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pemantauan masih perlu dilaksana.
“Marilah kita bersama-sama mengusahakannya.
“Saya dan pihak kementerian juga akan giat mempromosikan gaya hidup ‘green lifestyle’ dalam setiap aspek kehidupan rakyat secara individu, berkumpulan dan melalui aktiviti-aktiviti ekonomi,” katanya menerusi entri terbaharu di Instagramnya @dr_masrizal hari ini.
Dr Masrizal berkata demikian bagi mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, kelmarin.
Kelmarin, Al-Sultan Abdullah bertitah kemerosotan alam sekitar serta kesannya kepada kesejahteraan negara dan sejagat tidak boleh dipandang remeh.
Baginda bertitah, Malaysia perlu komited dalam usaha mengetengahkan isu alam sekitar dan perubahan iklim.
Titah baginda, ini termasuk mempergiat usaha untuk memulihara sungai, hutan, hidupan liar dan mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.
"Pemerkasaan undang-undang alam sekitar, aktiviti penguatkuasaan dan kerjasama erat semua pihak termasuk negara serantau perlu terus dilaksanakan," titahnya.
#Dewan Rakyat #ekonomi #kerajaan #Parlimen #rakyat #tenaga
;