Kerajaan sentiasa iktiraf sekolah aliran swasta di Malaysia - Najib

Nazialita Geynna Maharan
Jun 10, 2016 15:54 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak disambut ceria pelajar-pelajar pada pertemuan dengan badan-badan bukan kerajaan Cina di kawasan Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Kangsar di SM Tsung Wah, Jumaat. - fotoBERNAMA
Kerajaan sentiasa memastikan pembangunan prasarana di sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara menjadi keutamaan dalam memastikan kecemerlangan pendidikan terus diperkasa, kata Perdana Menteri hari ini.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sentiasa mengamalkan nilai hormat-menghormati di antara setiap kaum, sambil menegaskan, bidang pendidikan merupakan sesuatu yang amat dekat di hati beliau.
Katanya, kerajaan sentiasa mengamalkan nilai kaum Cina iaitu 'zhong yuk' yang mempunyai banyak persamaan dengan konsep wasatiyah meskipun diamalkan rakyat yang berbeza dari segi akidah.
"Saya amat menghormati kaum Cina, kerana bagi aliran pendidikan di sekolah swasta atau persendirian, saya dapat tahu, cukup ramai ibu bapa yang memberi sumbangan peribadi kepada pembangunan sekolah agar anak-anak mereka dapat belajar dengan baik dan selesa.
"Ini membuktikan betapa kaum Cina memandang tinggi soal pendidikan dan bagi saya nilai ini amat saya hargai dan cukup saya kagumi," katanya ketika berucap pada Program Bersama Masyarakat Cina di SM Tsung Wah, di sini pada petang Jumaat.
Katanya, kerajaan sentiasa memastikan aliran pendidikan swasta tidak pernah terlepas daripada pelaksanaan pendidikan nasional malah mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada penyumbang utama kepada nilai perpaduan dan kesepakatan kaum di negara ini.
Najib berkata beliau telah membuat beberapa keputusan sewaktu menjadi Menteri Pendidikan khusus untuk pemerkasaan pendidikan di setiap sekolah di negara ini.
"Antaranya adalah, Rang Undang-undang Pindaan yang menyatakan bahawa Menteri Pendidikan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memansuhkan SJK (C) dan SJK(T) daripada diiktiraf dalam sistem pendidikan nasional.
"Ini bererti bahawa isu ini tidak akan lagi dipersoalkan dan ini juga menunjukkan bahawa kita amat menghormati sekolah persendirian, mereka juga mempunyai hak dalam negara ini," katanya lagi.
Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan peruntukan bagi pembinaan sebuah bangunan pentadbiran serba baru di Sekolah Menengah Tsung Wah yang telah dinantikan sekian lama.
"Saya telah mendapat maklum bahawa bangunan itu amat diperlukan dan dinantikan oleh sekolah ini justeru saya akan berbincang dengan Presiden MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon untuk menilai bajet dan perancangannya.
"Kami berharap, agar keikhlasan ini dapat disambut baik oleh penduduk di Kuala Kangsar dan usaha Barisan Nasional dalam sentiasa mengutamakan perpaduan dan keharmonian kaum melalui pendidikan," katanya lagi.
Beliau dalam pada itu juga amat menghargai usaha kerajaan negeri Perak yang akan menyediakan peruntukan khusus bagi 9 buah sekolah swasta di negeri ini.
Jelasnya, ianya merupakan sumbangan yang amat bermakna daripada pihak kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan pendidikan baik sekolah swasta atau kerajaan sentiasa menjadi tumpuan.
#Najib Tun Razak #nilai kaum Cina #pembangunan prasarana #Sekolah Jenis Kebangsaan #wasatiyah #zhong yuk