Kerajaan sentiasa berwaspada ancaman virus Zika

Astro Awani
Februari 28, 2016 16:49 MYT
SUBRAMANIAM: Kita adakan langkah berjaga-jaga di setiap pintu masuk utama.
Kerajaan sentiasa berjaga-jaga terhadap ancaman virus Zika walaupun negara masih bebas dari sebarang ancaman penularannya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, ia termasuk mengambil langkah menyaring semua pesakit denggi untuk memastikan mereka bebas dari virus itu.
"Sehingga kini, semua pesakit yang disaring disahkan bebas dari virus berkenaan. Ia akan diteruskan secara besar-besaran di peringkat antarabangsa.
'Ia memerlukan kesedaran yang amat tinggi . Contohnya pesakit denggi yang ada sekarang turut diperiksa kemungkinan mempunyai atau mengidap virus Zika," katanya semasa sidang media selepas merasmikan perlaksanaan "Pharmacy Information System" (PHIS) di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Tegasnya, pihaknya juga masih meneruskan kempen kesedaran bagi memastikan virus itu tidak sampai ke dalam negara.
"Kita adakan langkah berjaga-jaga di setiap pintu masuk utama laluan udara dalam negara juga masih dikawal sehingga kini.
"Negara tetap berisiko untuk terkena jangkitan itu kerana adanya nyamuk aedes. Rakyat negara ini khususnya wanita mengandung disaran menangguhkan perjalanan ke 26 negara yang dilaporkan ada jangkitan virus zika," jelasnya.
#penularan wabak #S Subramaniam #saringan pesakit denggi #virus Zika
;