'Kerajaan sementara' ini berjaya capai banyak perkara jangka masa panjang - Khairy
Rahimah Abdullah
Ogos 21, 2022 15:35 MYT
Ogos 21, 2022 15:35 MYT
PUTRAJAYA: Pentadbiran yang dianggap sebagai 'kerajaan sementara' ketika ini oleh sesetengah pihak dilihat telah berjaya mencapai banyak perkara jangka masa panjang.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk usaha mewujudkan rang undang-undang yang memastikan negara bebas daripada asap rokok.
"Dalam tempoh masa setahun, kerajaan yang dianggap sebagai 'kerajaan sementara' ini sebenarnya telah berjaya mencapai perkara-perkara yang long term dan long reaching in nature.
"Tadi Datuk Seri Wan Junaidi sebut reformasi Parlimen, macam-macam undang-undang yang sebelum ini sangat susah nak dilakukan, dapat diluluskan dalam tempoh 12 bulan sahaja.
"Dalam isu kesihatan, saya maklum pada beliau, "Sir (Perdana Menteri), let do something for the future. Jangan ingat kepada next election sahaja, tetapi ingat kepada generasi yang akan datang dan sebab itu beliau sokong saya bawa rang undang-undang untuk kita wujudkan negara bebas asap rokok di Malaysia, pada Oktober kita akan luluskan RUU ini," katanya.
Khairy berucap pada Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan, di sini yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.
Sementara itu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilaksanakan negara ini disifatkan sebagai antara yang terbaik di dunia.
Jelas Khairy, kajian dilakukan kementeriannya mendapati, program itu berjaya menyelamatkan lebih dari 17,000 nyawa.
Walaupun mengakui sebelum ini ramai yang marah dengan sikap tegasnya dalam menangani COVID-19, Khairy berkata, beliau tidak akan memohon maaf di atas ketegasannya itu.
"Saya tahu ada juga ramai yang marah saya sebab paksa, tegas dalam vaksinasi. I don't apologize for it, sebab kalau kita melihat kepada hari ini, antara kejayaan kita keluar dari COVID-19 adalah kejayaan program imunisasi COVID-19 kebangasaan, antara terbaik di dunia yang dilaksanakan di Malaysia.
"Kajian dibuat oleh institut penyelidikan klinikal di bawah KKM menunjukkan program vaksinasi kita telah menyelamatkan tidak kurang dari 17,000 nyawa," ujarnya.