Kerajaan Selangor umum dua projek pacu pembangunan Sabak Bernam
Faida Rahim
Jun 9, 2023 12:30 MYT
Jun 9, 2023 12:30 MYT
SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor bakal melaksanakan dua projek utama bertujuan menyokong matlamat keterjaminan makanan jangka panjang negeri itu dalam menyediakan bekalan makanan ruji yang mencukupi dan berterusan bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan projek di bawah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) ini bakal menyaksikan pembangunan pelabuhan perikanan dan pemprosesan berskala besar.
“Besar hasrat kita menjadikan Sabak Bernam sebagai pusat utama pengeluaran barang pertanian Malaysia serta memberi peluang pekerjaan kepada generasi muda serta petani dan nelayan di kawasan ini.
“Melalui inisiatif Rancangan Selangor Pertama (RS-1), kami juga yakin dapat menjadikan Sabak Bernam sebagai pusat pelancongan lestari yang berpusat pada produk dan aktiviti tempatan serta menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang negeri Selangor.
“Inisiatif ini membolehkan petani dan perikanan berskala kecil meningkatkan pengeluaran tempatan, menyesuaikan diri dengan perubahan iklim lebih baik serta mewujudkan peluang komersial,” katanya di Majlis Pengenalan Pembangunan Kawasan (SABDA) di Nazbell Cottage & Garden Sungai Besar pada Jumaat.
Dua projek perikanan berskala besar ini juga dijangka menarik pelaburan sekitar RM600 juta dengan lebih 7,000 tawaran pekerjaan dalam tempoh 10 tahun.
Tambah Amirudin, kerajaan negeri komited dalam memastikan matlamat keterjaminan makanan atau ‘food security’ termasuk meningkatkan jumlah pendapatan komuniti nelayan dan petani di Sabak Bernam.
“Kami mahu menarik lebih ramai belia untuk terlibat dalam pembangunan di kawasan ini dengan penggunaan teknologi terkini sebagai pemacu utama.
“Hal ini pastinya melibatkan pelabur dan syarikat swasta untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui MBI Selangor,” katanya.
Tambah beliau, Selangor juga sentiasa berusaha meningkatkan pelaburan pembangunan jangka panjang kawasan luar bandar melibatkan kerjasama sektor awam dan swasta.
Sementara itu, MBI menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) untuk projek pembangunan kilang pemprosesan dan pembungkusan tuna dan ikan laut dalam pertama di Malaysia yang akan dibina di Sungai Lang sebagai sebahagian daripada projek berjangka masa 10 tahun.
Projek ini bakal menyediakan 2,500 hingga 5,000 peluang pekerjaan dan dijangka beroperasi dalam tempoh setahun yang akan datang.