Kerajaan Selangor tidak berhasrat henti program air percuma - Amirudin

Bernama
Januari 22, 2020 23:17 MYT
Program air percuma akan dikekalkan melalui Skim Air Darul Ehsan untuk dinikmati golongan bersasar. - Gambar hiasan
Kerajaan Negeri Selangor tidak bercadang untuk menghentikan program air percuma untuk golongan sasar meskipun kos perbelanjaannya meningkat setiap tahun, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata ini kerana kedudukan kewangan negeri masih berupaya untuk melaksanakan program itu, bagaimanapun tidak mendedahkan butiran kedudukan kewangan negeri.
Katanya program air percuma akan dikekalkan melalui Skim Air Darul Ehsan untuk dinikmati golongan bersasar.
"Sebagai perancangan, kita sudah buat Skim Air Darul Ehsan supaya program air percuma kekal dan berterusan. Kita tidak akan hentikan ...selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) beroperasi sepenuhnya dan mendapat margin lebih baik sehingga mampu membiayai kos perbelanjaan itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di sini, pada Rabu.
Program air percuma yang dinikmati rakyat Selangor sejak 2008 bakal berakhir pada 1 Mac ini apabila kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melakukan penjajaran semula subsidi agar ia lebih bersasar dan tidak membebankan kewangan kerajaan negeri.
Melalui penjenamaan semula Skim Air Darul Ehsan itu, air percuma hanya akan dinikmati golongan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan atau B40.
Berhubung musim kemarau ketika ini, Amirudin berkata paras air di semua kolam takungan dan empangan di Selangor masih mencukupi termasuk mempunyai sumber alternatif seperti Kolam Takungan Hiliran (ORS) Kampung Hang Tuah dan projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) yang mampu bertahan sehingga empat bulan.
Mengulas LRA Langat 2, katanya Stream B Langat 2 ketika ini mengagihkan air terawat sebanyak 325 juta liter padu (MLD) untuk kegunaan di kawasan Hulu Langat dan Kuala Lumpur dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 565 MLD selepas kerja-kerja penyambungan paip oleh kontraktor siap dijalankan.
Katanya, pengoperasian Stream B Langat 2 telah dapat mengurangkan had penggunaan air di beberapa loji seperti LRA Semenyih dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang sebelum ini beroperasi melebihi tahap maksimum.
"Selain itu agihan air terawat ini juga dapat meningkatkan margin simpanan air yang sebelum ini sangat rendah iaitu daripada tiga peratus kepada sembilan hingga 10 peratus dan ini akan memberi satu kedudukan yang lebih selesa bagi margin simpanan air pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #konsumer #Menteri Besar Selangor #pengguna #program air percuma #Selangor
;