Kerajaan Selangor tetap kekalkan 30 peratus hutan simpan - Azmin
Bernama
Mac 26, 2016 08:39 MYT
Mac 26, 2016 08:39 MYT
Kerajaan Negeri Selangor tetap berpendirian untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kawasan hutan simpan di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata sekiranya ada keperluan untuk membatalkan sebahagian gazet hutan simpan itu bagi tujuan pembangunan termasuk pembinaan lebuh raya, ia akan digantikan semula.
"Hari ini kita sudah melepasi sasaran yang ditetapkan apabila kira-kira 31.56 peratus (hutan simpan) dikekalkan di negeri ini.
"Tetapi ini tidak bermakna kita akan meneroka ataupun membenarkan aktiviti pembalakan kerana kita mahu memelihara alam sekitar dan ekosistem negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang mati terkena tembakan seorang anggota polis enam tahun lepas, di sini, pada Jumaat.
Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan penduduk Damansara Perdana baru-baru ini terhadap projek Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), kerana mendakwa pembinaan lebuh raya itu akan membatalkan gazet hutan simpan di kawasan berkenaan.
Lebuh raya DASH sepanjang 47 kilometer bernilai RM4.2 bilion itu antara projek diumumkan dalam Bajet 2015.