Kerajaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Tower untuk dibangunkan semula
Bernama
Disember 14, 2019 04:26 MYT
Disember 14, 2019 04:26 MYT
Kerajaan Selangor sedang memproses kelulusan tapak tanah Highland Towers di Hulu Klang untuk dibangunkan semula dan ia memerlukan masa kerana perlu melalui beberapa prosedur.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya ada menerima surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai isu pembangunan semula Highland Towers bulan lepas dan ia sedang diuruskan oleh jabatan terlibat.
"Kita memang mahu bekerjasama dengan KPKT untuk membangunkan semula kawasan itu (Highland Towers) cuma prosesnya (kelulusan tanah untuk diambil alih bagi pembangunan semula) mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.
"Prosesnya yang melibatkan maklum balas, penggazetan dan sebagainya iaitu proses biasa dalam kerja tanah biasanya mengambil masa 90 hari atau tiga bulan. Jika ada isu lain, ia mungkin ambil masa empat bulan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Krismas peringkat negeri di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab gesaan Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin pada Sabtu seperti dilaporkan media supaya kerajaan Selangor mempercepatkan kelulusan pengambilalihan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula selepas lebih 20 tahun terbiar.
Ditanya sama ada proses kelulusan tapak tanah untuk pembangunan semula itu boleh diselesaikan hujung bulan ini seperti yang digesa Zuraida, Amirudin berkata ia perlu dibawa ke mesyuarat exco terlebih dahulu.
"Surat (daripada KPKT) saya baru dapat dan memerlukan masa (untuk proses) sebab kerajaan negeri perlu mengikut prosedur dalam isu berkaitan tanah.
"Saya juga sudah bermesyuarat dengan menteri (Zuraida) untuk melakukan beberapa pelarasan mengenainya. Kalau buat Januari pun tiada masalah. Saya akan cuba percepatkan," katanya.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari
#Highland Towers
#kelulusan
#Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
#Menteri Besar Selangor
#Mesyuarat EXCO
#pembangunan semula
#pengambilalihan
#prosedur
#tanah
#Zuraida Kamaruddin