Kerajaan Selangor rangka strategi giatkan pendaftaran PADU, pastikan tiada keciciran - Amirudin
Bernama
Mac 20, 2024 21:45 MYT
Mac 20, 2024 21:45 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan merangka strategi ke arah mempergiatkan usaha meningkatkan bilangan penduduk negeri itu berdaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata selain akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Ekonomi, kerajaan negeri sedang meneliti beberapa cadangan antaranya melalui pendaftaran dari rumah ke rumah oleh sukarelawan di lapangan.
"Setakat ini kita sudah pergiatkan usaha pendaftaran dalam kalangan penjawat awam, manakala bagi orang awam, kita membuka kaunter pendaftaran PADU di setiap program anjuran kerajaan negeri.
"Saya akan lihat semula apa nilai tambah yang boleh dibuat bagi memastikan rakyat negeri ini tidak tercicir daripada menerima bantuan subsidi bersasar disediakan kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Hijrah Selangor dan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini hari ini.
Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata Selangor bakal menjadi negeri yang mempunyai isu keciciran bantuan subsidi bersasar tertinggi susulan ramai penduduk di negeri berkenaan tidak mendaftar PADU.
Amirudin berkata kepadatan penduduk yang tinggi serta kekosongan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung yang masih belum dilantik merupakan antara faktor menyumbang kepada kadar pendaftaran PADU yang kurang menggalakkan di Selangor.
Untuk itu, katanya beliau akan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah serta Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin bagi menyelesaikan urusan pelantikan ketua komuniti dengan segera.
"Kami memerlukan sedikit masa dan jika pelantikan ketua komuniti ini dapat diselesaikan, ia pasti akan membantu dalam urusan mendaftarkan penduduk di bawah kariah masing-masing ke dalam sistem PADU," katanya.
Berhubung MoU itu, Amirudin berkata perjanjian tersebut membolehkan pihak AKPK membantu usahawan yang terjejas untuk menyelaras semula bayaran balik pinjaman Hijrah Selangor melalui 'Debt Management Programme'.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Datuk Mearia Hamzah berkata bagi fasa satu pelaksanaan program itu, sebanyak 1,000 akaun pembiayaan yang tertunggak dengan anggaran nilai keseluruhan RM12 juta akan diserahkan kepada AKPK untuk penyelarasan bayaran balik pinjaman serta memastikan pengurusan kewangan kembali ke landasan yang betul.
"MoU ini turut melibatkan pelaksanaan pendidikan kewangan, latihan dan pembangunan diri turut termeterai dalam MoU ini dan AKPK juga akan menyediakan latihan pendidikan kewangan melalui modul kewangan bagi tujuan pensijilan, terutamanya dalam bidang pengurusan kewangan dan kredit," katanya.
-- BERNAMA